SEPINTAS LALU...

 

            Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan , Ipoh , yang pada awalnya dikenali sebagai Government English Girls telah ditubuhkan pada tahun 1951. Pada mulanya ia mempunyai sebuah kelas Primary 1 sahaja, yang menumpang di Sekolah Anderson, Ipoh. Kelas ini diadakan pada sebelah petang kerana masalah kekurangan tempat. Pada tahun 1952, dua buah kelas lagi iaitu Primary 2 dan kelas “ Special Malay Class One ” telah dibuka dan kelas ini di tempatkan di sebuah rumah di Jalan Kuala Kangsar. Apabila bilangan pelajar terus bertambah, sekolah  ini dipindahkan ke sebuah rumah yang mempunyai kedudukan yang berpusat iaitu di sebuah banglo di No. 61, Jalan Chamberlain Hulu, Ipoh. Rumah banglo ini dimiliki oleh DYMM Raja Perempuan Taayah.
 

           Pada Febuari 1953, sekolah ini telah dibuka secara rasmi oleh DYMM Raja Perempuan Taayah dan diberi nama Raja Perempuan School sempena dengan nama DYMM Raja Perempuan Taayah. Peningkatan bilangan pelajar yang begitu pesat, sebuah banglo di No. 71, Jalan Chung Thye Phin telah digunakan sebagai bangunan tambahan. Pada tahun yang sama  Puan A. N. Nadarajah telah dilantik menjadi Guru Besar sekolah  ini dengan dibantu oleh Puan Yap Hong Kuan sebagai Penolong Kanan. Pada tahun 1955, pelajar Special Malay Class telah naik ke Tingkatan Satu. Untuk belajar mata pelajaran sains, pelajar Special Malay Class terpaksa berbasikal atau berjalan kaki ke Sekolah Perempuan Methodist atau ke Sekolah Anderson.
 

            Pada tahun 1957, seramai 30 orang pelajar sekolah ini telah menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education. Pada tahun 1960 seramai 34 orang pelajar pula telah menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education   ( MCE / SC / FMC ). Kelulusan yang dicapai ialah 67.8 %. Pada tahun ini juga pentadbiran sekolah ini telah diasingkan menjadi bahagian sekolah rendah dan sekolah menengah. Miss Ng telah dilantik menjadi Guru Besar Sekolah Rendah dan Puan A.N. Nadarajah pula dilantik sebagai “Principal ” Sekolah Menengah.


            Tapak tetap sekolah ini telah didapati, iaitu di Jalan Batu Bungkal, Ipoh. Pada tahun 1962, Blok A telah siap dibina yang mengandungi 11 buah bilik darjah dan sebuah makmal sains. Sebahagian daripada penuntut telah dipindahkan ke bangunan baru. Blok B pula telah siap dibina pada tahun 1964. Bangunan ini mengandungi 10 buah bilik darjah, sebuah makmal sains dan sebuah bilik sains rumah tangga. Keistimewaan dua buah blok bangunan ini ialah mempunyai bumbung yang rata. Pada tahun yang sama kantin sekolah telah dibina. Apabila kantin sekolah siap semua pelajar sekolah menengah di Jalan Chung Thye Phin dipindahkan ke bangunan di Jalan Batu Bungkal. Bangunan sekolah menengah di jalan Chung Thye Phin kemudiannya menjadi bangunan tambahan kepada sekolah rendah. Bilangan pelajar sekolah menengah waktu itu ialah seramai 446 orang sahaja.


        Bangunan Blok Pentadbiran pula telah siap dibina pada tahun 1965. Bangunan ini terdiri daripada pejabat dan bilik guru. Lantaran itu pada 12 Mac 1966  Blok Pentadbiran tersebut telah dirasmikan oleh Encik Mohd Khir Johari, Menteri Pelajaran pada masa. Pada tahun 1972, sekolah ini telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Hussein bin Onn, Menteri Pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun majlis tersebut terpaksa diadakan di padang sekolah kerana ketiadaan dewan sekolah.


        Pada tahun 1973, bangunan Blok C telah siap dibina. Bangunan ini mengandungi 3 makmal sains tulin, 2 buah bilik masakan, sebuah bilik jahitan dan lima buah bilik darjah. Dua buah bilik darjah telah dijadikan Bilik Sumber dan tiga buah lagi dijadikan dewan sementara.


        Di samping itu, sebuah  blok asrama untuk pelajar bumiputera dari luar bandar di bawah Skim Rancangan Khas telah dibina. Bangunan ini dapat menempatkan 200 orang pelajar termasuk pelajar Rancangan Khas dari Sekolah Menengah Methodist dan ACS. Untuk menampung jumlah pelajar luar bandar yang semakin meningkat dalam Rancangan Khas ini, sebuah blok asrama telah dibina pada tahun 1980.


        Pada tahun 1981, sekolah ini menawarkan kelas Tingkatan 6 bagi kali pertama. Sebelum ini pelajar cemerlang akan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 di Sekolah Anderson, Ipoh. Seramai 34 orang pelajar pertama mengambil peperiksaan STP / HSC. Pada tahun 1982, 25 orang pelajar menduduki peperiksaan STP Sijil Terbuka dan telah lulus 100 % dalam peperiksaan tersebut.


        Pada 1 Febuari 1983, sekolah ini telah dinaikkan taraf ke Gred A. Disebabkan kelas-kelas masih tidak mencukupi untuk menampung murid yang begitu ramai, bangunan Blok D dan Blok E siap dibina pada akhir tahun 1984. Bangunan Blik D mengandungi tidak buah makmal sains, 2 bilik darjah, sebuah Pusat Sumber yang lengkap dan sebuah bilik APD. Blok E pula mengandungi 14 buah bilik darjah dan sebuah Bilik Sembahyang.


        Keluasan asal sekolah ini ialah 18.6 ekar ( sehingga Julai 1986 ) yang meliputi padang dan gelanggang hoki, bola jaring, bola lisut dan sebagainya. Namun begitu sebahagian tanah sekolah telah diambil untuk pembinaan Lebuh Raya Sultan Azlan Shah Selatan. Pelan tapak sekolah ini telah berubah apabila asrama dan sekolah dipisahkan oleh lebuh raya tersebut. Keluasan tanah sekolah juga telah berkurangan menjadi 14 ekar sahaja kini. Untuk tujuan keselamatan, sebuah jejantas telah dibina oleh Dewan Bandar Raya Ipoh  bagi memudahkan pelajar yang tinggal di asrama berulang-alik ke sekolah.


        Pada tahun 1991, Blok F telah dibina. Blok ini mengandungi 10 buah bilik darjah dan bilik Bimbingan dan Kaunseling. Pada tahun 1992, bengkel Kemahiran Hidup pula siap dibina. Pada tahun 1994 blok A dan Blok B telah dibaikpulih dan pada tahun 1995, sekolah ini telah dipilih untuk pembinaan prototype Bilik Guru  yang serba moden. Pada tahun 2003 impian warga sekolah ini untuk memiliki dewan telah menjadi kenyataan. Pembinaan dewan terbuka ini merupakan usaha Persatuan Bekas Pelajar sekolah ini dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru menjalankan usaha mengumpulkan dana pembinaan tersebut. Kini sekolah ini juga telah memilik sebuah Makmal Komputer dan bilik-bilik khas sedang dan siap dibina. Usaha yang masih dalam proses ialah menaik taraf kelas kepada sebuah Dewan Kuliah. Sekolah ini juga telah memiliki sebuah gimnasium untuk kegunaan seluruh warga sekolah ini terutama pasukan hoki dan bola jaring.


        Kini RPS telah berkembang maju dengan bilangan murid seramai 1300 orang dan bilangan guru ialah seramai 100 orang. Luas kawasan sekolah ialah 5.6 hektar dan sebanyak 14 blok bangunan telah dibina untuk menempatkan 5 blok bilik darjah , bilik guru, maklmal sains, makmal komputer, kantin, dewan sekolah, blok pentadbiran dan bilik gerakan, bengkel kemahiran hidup dan gimnasium.


        RPS kini terus berusaha untuk mengekalkan namanya dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Kemuncak kejayaan RPS adalah apabila dinobatkan Johan Anugerah Sekolah Harapan Negara peringkat kebangsaan Kategori Sekolah Menengah Bandar 2007, Naib Johan Anugerah Asrama Terbilang (ASAT) peringkat Kebangsaan 2007 dan Anugerah Sekolah Cemerlang 2007.

Menu